Wednesday, August 26, 2009

Hari Keluarga Siri Akhir

Sambungan dari siri 2.
Semasa 'dinner' malam tu macam biasalah ada ucapan daripada pembesar-pembesar NAZA TTDI semua kemudian acara penyampaian sijil wang hadiah kepada anak-anak pekerja yang cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM. Yang menerima sijil pada malam tu termasuklah anakanda saya yang perempuan kerana mendapat 8A dalam PMR (sekarang kat MRSM Bentong) Oleh kerana yang pergi ke Bandung tu adiknya, maka yang menjadi wakil menerima sijil ialah ayahnya. Selepas semua acara tu selesai, maka bermulalah acara hiburan. Yang menjadi jemputan pada malam tu tentulah artis dari Indon, apalagi.... dangdutlah. Lebih kurang pukul 11.00 malam acara pun tamat. Semua tetamu bersurai... ke bilik dan tidurrr...

Pagi besoknya(Ahad 8 Mac) seperti biasa selepas solat subuh, bersiap-siap ke tingkat bawah sarapan pagi. Selepas sarapan kami ke lobi menunggu bas yang akan membawa rombongan kami meneruskan acara lawatan yang belum selesai. Lebih kurang jam 9.00 pagi bas pun tiba. Sebelum rombongan kami menaiki bas masing-masing yang berjumlah 6 buah tu, kami semua diminta untuk bergambar beramai-ramai di depan hotel bersama-sama dengan pembesar-pembesar NAZA TTDI kemudian barulah naik bas dan bertolak ke destinasi lawatan seterusnya.
Tempat tujuan kami seterusnya ialah 'Gunung Tangkuban Perahu' iaitu kawah gunung berapi yang masih berasap. Perjalanan ke sana terpaksa mendaki gunung yang agak tinggi jugalah bengkang bengkok macam naik Cameran Hihgland. Sepanjang perjalanan ke gunung tu terasa cuaca amat sejuk dan kami dapat melihat ada kebun-kebun strawbery, dan juga rasbery merah. Terdapat juga gerai-gerai menjual buah avakado dengan banyaknya kerana di Bandung ada ladangnya. Sampainya kami di sebuah perhentian bas, kami di suruh turun untuk menaiki kenderaan lain ke atas puncak gunung. Kenderaan ke puncak gunung tu seperti jeep yang hanya boleh memuatkan seramai enam orang. Setibanya kami ke puncak gunung tu hujan mula turun rintik-rintik dan kemudian bertambah agak lebat lah juga. Kami mula mencari tempat berlindung tapi takdak, kemudian kami tengok ada khidmat sewa payung kat puncak gunung tu, apalagi kami pun takdak jalan lain terpaksa juga menyewa payung dengan harga 10 ribu rupiah satu payung (lebihkurang 3 ringgitlah)

Di puncak gunung tu ada kawah gunung berapi yang amat luas, masih mengeluarkan asapnya. Kami dilarang untuk turun ke bawah kerana kata pemandu pelancung kami, asapnya mengandungi racun yang tidak berbau, tiba-tiba je dah pengsan dan kalau nasib tak baik boleh meninggal!. Bau belerang yang amat kuat menusuk hidung. Setelah selesai mengambil gambar kawah dan bergambar serba sedikit kami pun turun ke tempat bas tadi. Di situ ada ramai penjual yang menjual berbagai benda seperti baju T, pemegang kunci, gelang batu gunung, buah strawbery, rasberi dan bermacam-macam lagi lah. Yang menariknya, buah strawbery dan rasberi kat situ punyalah manisnya macam letak gula, besar-besar pulak tu. Tapi sayang tak boleh bawa balik, nanti kena cek yang bukan-bukan baik jangan cari pasal. Makan je lah kat situ.

Selesai lawatan kami meneruskan destinasi yang kedua iaitu kawasan air panas,kemudian waktu makan tengahari pun tiba. Hujan turun dengan lebatnya mengiringi rombongan kami menuju ke sebuah lagi restoran untuk makan tengahari. Kami dijemput dengan payung oleh pelayan-pelayan restoran itu seorang demi seorang kerana hujan sangat lebat. Selesai makan dan solat jamak lebih kurang jam 3 petang kami terpaksa bertolak ke lapangan terbang untuk berangkat pulang. kebetulan hujan masih lagi lebat, maka jalan pun jem lah macam kat KL juga.
Bimbangnya hati takut tertinggal kapal terbang, tapi nasib masih menyebelahi kami. Kami selamat menaiki kapal terbang dan selamat tiba ke tanah air seperti yang dijadualkan. Tamat..








Sedang berbaris untuk kembali ke tanah air. Bye!

Hari Keluarga Siri Ke-2



Sambungan dari siri pertama dulu. Selepas makan malam kami dibawa ke hotel penginapan untuk check-in. Sesampai di hotel hari sudah malam. Kami membersihkan diri dan menunaikan solat jamak qasar, maklum perjalaman jauh. Acara pada waktu malam bebas, jadi kami hanya melihat-lihat sekitar hotel dan merakamkan gambar. Selebihnya kami melepak kat bilik menonton tv saluran Indonesia. Anak saya asyik tengok kartun je. Kartun Sin Chan kegemaran anak pun ada juga tapi alihbahasa Indonesia. He he he kelakar katanya Dia ketawa gelihati maklum kat Malaysia alih bahasa Melayu. Menjelang tengah malam kami pun terlentok keletihan. Sedar-sedar dah subuh. Subuh kat Indon ni awal masuknya. Awal satu jam dari Malaysia. 4.50 waktu Indon dah subuh. Sebenarnya kat Bandung ni sejuk tempatnya, cuma kurang sikit sejuk dari Cameran Highland, jadi untuk mandi pagi tu sejuk le, tapi takpe sebab kat hotel kan ada pemanas air, taklah macam kat rumah kita tu sentiasa panas tak kira malam ke, pagi ke. Selesai subuh dan bersiap-siap kami ke bawah untuk sarapan. Di situ kami dapati dah ramai ahli rombongan kami sedang menikmati sarapan masing-masing.

Selesai sarapan kami ke lobi hotel sambil menunggu bas rombongan yang akan membawa kami untuk membeli-belah. Bergambar lagi dengan pelayan hotel pun jadi. Sambil tu ada juga 'ulat-ulat' yang menjual barang-barang seperti pemegang kunci, kain batik, telekong, baju T dan lain-lain yang boleh di jinjing berkeliaran kat luar kawasan hotel. Pantang dilayan sorang, yang datang berduyun-duyun serbu minta kita beli barangan dia orang. Kami jadi takut lalu lari ke hotel. sebab kawasan hotel mereka tak berani masuk agaknya dah dilarang gamaknya. Huuhh selamat!. Bas pun tiba untuk membawa kami ke 'Pasar Baru' sebuah kompleks membeli-belah yang keadaannya lebih kurang Pasar Payang kat Terengganu, Pekan Rabu kat Kedah tu tapi ini lebih besar lagi iaitu ada enam tingkat yang menjual bermacam-macam benda. Semuanya ada kat situ. Tempat yang mula-mula kami tuju ialah tempat yang menjual telekong, apa lagi borong sakanlah kalau boleh kat semua adik-beradik dan saudara-mara kami nak hadiahkan sorang satu sebab murahnya!. Sampaikan beg yang kami bawa terpaksa di tambah satu lagi, agak besar jugalah untuk isi telekong je. Lepas tu beli baju, jubah dan lain-lain.

Lepas membeli-belah kami di bawa untuk makan tengahari, kata pemandu pelancong kami,"Makan siang". Restoran masakan Padang, boleh tahan la. Lepas makan kami di bawa untuk membeli-belah lagi... aduh.. penatnya,,. tenatnya 'poket'. Tapi takpe sebelum ke Bandung kami dah tukar duit Indon, juta-juta jugalah tiap orang bawa, bukan juta ringgit,.. juta rupiah!. Selesai membeli-belah, hari pun dah petang. Bertolak balik ke hotel. Aduh!... penatnya. Lepas ni kena bersiap-siap untuk 'dinner' dengan semua rombongan syarikat, pengarah, ceo serta semua orang-orang besar syarikat ada kat majlis tu.

Ini adalah gambar En.SM Faliq (yang pegang pisau nak potong kek sebelah mak dia) anak kepada Allahyarham Tan Sri SM Nasimudin (NAZA TTDI) bersama dengan adik serta emaknya iaitu Puan Sri Zaleha bt Ismail semasa dinner, sedang memotong kek ulang tahun syarikat NAZA TTDI, beserta pengarah-pengarah yang lain.

Hari Keluarga




Hari keluarga

Pada 6hb Mac 2009 yang baru berlalu ,syarikat tempat suami saya bekerja telah menganjurkan hari keluaraga syarikat. Destinasi yang dipilih ialah luar negara. Tak la jauh sangat, Cuma Bandung, Indonesia je. Dengar macam seronok je. Memanglah seronok sebab semua perbelanjaan ke sana ditanggung oleh pihak syarikat, dari tiket kapalterbang untuk tiga orang, hotel penginapan, kenderaan lawatan tempat menarik, makan minum semuanya beres. Tapi membeli-belah tu poket sendirilah.

Perjalanan bermula tengahari Jumaat 6Mac, kami bertolak dengan kereta ke Shah Alam (ibu pejabat NAZA TTDI ) Pengurusan perjalanan kami diuruskan dalam tiga peringkat penerbangan. Kumpulan pertama dua buah bas berlepas pada pagi Jumaat selepas subuh. Kumpulan kedua iaitu kumpulan kami dua buah bas juga pada petang Jumaat. Dan kumpulan ketiga juga dua buah bas ialah pada 7Mac Sabtu pagi. Sesampainya kami di Shah Alam, kami menaiki bas ke KLIA-LCCT. (naik Air Asia, tambang murah kan!) Dari sana kami mula memasuki terminal dan bermulalah bermacam-macam proses seperti biasalah, dari kastamnya bagasi dan lain-lain lagi. Akhirnya seperti yang dijadualkan kamipun mulalah menaiki pesawat dan akhirnya pesawat kami pun terbang.

Subhanallah!. Cantiknya pemandangan dari atas kapalterbang. Emm... janganlah senyum-senyum sumbing. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya naik kapalterbang. Ini adalah kali keempat. Kali pertama semasa saya membayar nazar iaitu ketika mendapat anak perempuan. Maklumlah anak pertama lelaki, kedua pun lelaki juga, maka nak la sangat anak perempuan dan mulalah berniat jika dapat anak perempuan yang ketiga ni nak bawa balik kampung dengan kapalterbang. Akhirnya dapatlah anak perempuan dan bayarlah nazar kononnya. Pada masa tu mana ada Air Asia lagi yang ada hanya MAS, jadi naiklah kapalterbang kali pertama balik kampung bawa bayi yang berumur satu minggu tu. Tak la jauh manapun, Kedah je Cuma 45 minit penerbangan. Jadilah. Itu cerita 16 tahun yang lalu. Kali keduanya ialah pada tahun 2002 semasa syarikat tempat suami kerja anjurkan hari keluarga juga tapi tu kat Langkawi je. Kali ni semua anak beranak ikut serta. Kali ketiganya ialah semasa syarikat suami anjurkan ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu, Sabah. Suami mendaki gunung kami kaum perempuan kat hotel je, sebab mereka mula mendaki tengah malam. Kali keempatnya ini ke Bandung.

Pemandangan dari atas kapalterbang memang menakjubkan, melihat awan-gemawan yang memutih. (Gamaknya inilah yang mendatangkan ilham kepada penyair seperti Dr Syamsina,UPM menghasilkan sajak ”Belantara Awan yang memutih”) Kurang lebih dua jam dalam penerbangan akhirnya kami pun menjejakkan kaki di lapangan terbang Bandung. Ah! Lupa pula nama lapangan terbangnya. Sesampainya kami di sana, kami dibawa dengan bas yang sedia menunggu kami ke sebuah restoran lima bintang untuk makan malam kira-kiranya jam 6 sore (Oop! Tersasul bahasa Indon la pulak, maaf) Makan masakan padang, boleh tahan juga lebih kurang masakan Malaysia juga. Selepas makan malam kami dibawa ke hotel penginapan (Grand Preanger ) ’check-in’. Acara waktu malam bebas.

Cukuplah dulu kut, tunggulah sambungannya lain kali. Sebelum tu boleh juga tengok gambar ya.

Perjuangan Yang Belum Selesai

Perjuangan
Sesungguhnya masih belum selesai
selagi hayat dikandung badan
teruskan berjuang
teruskan menjulang
teruskan mendulang
menentang penghalang
piala kemenangan
hari mendatang

Perjuangan
masih panjang
beribu langkah –langkah
lembut
tapi bersemangat waja

Perjuangan
langkah perwira bangsa
yang telah sedia dirintis
pusaka zaman berzaman
masih bersisa ini
menunggu kalimat agung
teruskan
perjuangan yang belum selesai.