Thursday, April 16, 2009

Bioteknologi bantu sektor pertanian

BUTTERWORTH: Saintis dan penyelidik di negara ini digalak menghasilkan penemuan baru dalam bidang bioteknologi bagi menyokong usaha kerajaan memajukan semula sektor peladangan, penternakan dan perikanan.

Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata usaha memajukan tiga bidang berkenaan tidak akan sempurna jika hanya bergantung kepada penternak, peladang dan nelayan. Katanya, gabungan penemuan yang dihasilkan saintis dan penyelidik serta komitmen penternak, peladang dan nelayan dalam bidang berkenaan mampu merancakkan sektor berkenaan.

"Tanpa penyelidikan dan pembangunan oleh saintis di institut pengajian tinggi, bidang pertanian dan seumpamanya sukar mengalami kemajuan. "Penyelidik di negara kita memang perlu meningkatkan lagi usaha melakukan kajian dalam bidang bioteknologi yang kemudian dimanfaatkan golongan sasar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Tapak Ekspo Pertanian Seberang Jaya, petang semalam. Perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas. Hadir sama isterinya, Toh Puan Majimor Shariff.

Pelbagai kegiatan disediakan sempena sambutan itu yang bermula semalam dan berakhir Ahad ini antaranya demonstrasi masakan ikan keli, masakan produk pertanian, jualan buah-buahan tempatan serta makanan berasaskan perikanan, ternakan dan hasil pertanian.

Koh berkata, penternak, peladang dan nelayan harus memanfaatkan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk meningkatkan pengeluaran dan membangunkan produk baru serta mencari pasaran "Sekarang adalah zaman keemasan bagi penternak, peladang dan nelayan kerana kerajaan mahu menjadikan sektor pertanian seiring dengan sektor perindustrian.

"Oleh itu, golongan ini perlu bijak merancang dan merencana usaha bagaimana mahu menjana pendapatan melalui hasil penternakan, pertanian dan perikanan," katanya.

Berita Harian, Saturday, 8 July 2006 

No comments:

Post a Comment